Pintu Gerbang Kota Kuala Kedah
  
Nama: Pintu Gerbang Kota Kuala Kedah
Kategori: Koleksi Etnologi,
Lokasi: Perkarangan Muzium Negara,

Pintu gerbang ini mengambil bentuk Pintu Malim iaitu salah sebuah pintu gerbang Kota Kuala Kedah yang terletak di muara Sungai Kedah. Kota Kuala Kedah merupakan satu-satunya Kota Melayu yang diperbuat daripada batu-bata yang masih kekal dan boleh dilihat hingga hari ini. Kota ini telah dibina pada zaman pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah semasa baginda menaiki takhta Kerajaan Negeri Kedah pada tahun 1760, bertujuan mempertahankan Negeri Kedah dari serangan tentera Siam pada masa itu. Pelan kota ini telah disediakan oleh Datuk Maharaja Kadhir dan dibantu oleh anak saudaranya, Maulana Ibrahim Sahab dari India dengan membawa bersamanya tukang-tukang batu dari sana. Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada tahun 1771 dan siap pada tahun 1780. Kota ini meliputi kawasan seluas 2 ekar. Pada bahagian menghala ke laut dan sungai, dua tembok dibina dan di antaranya diisikan dengan tanah, manakala bahagian belakangnya didirikan tembok selapis sahaja, Meriam-meriam besar buatan British dibeli dan dipasang pada kota yang menghala ke laut dan dua di antaranya mempunyai nama khas iaitu “Badak Berendam” dan “Katak Puru”. Apabila Negeri Kedah menerima Penasihat Inggeris, kota ini telah digunakan sebagai pusat pentadbirannya. Untuk kemudahan mereka, sebuah pintu baru telah dibina, dimana ianya lebih besar dari Pintu Malim dan dikenali sebagai Pintu Inggeris. Replika ini dibina sebagai lambang kekuasaan dan kekuatan Kesultanan Melayu lampau.


artifak warisan bm Celepa emas bersepuh milik asal keluarga diraja Terengganu. Buatan tukang Melayu yang sangat halus. Dibentuk bersegi 10 dengan berjenis ukiran daun sulur dan bijirin emas. Di tengahnya diukir bentuk sekuntum bunga bertatah sebutir permata delima merah dan dipagari dengan permata kaca berwarna merah. Sekitar abad ke-18. Artifak ini telah diisytiharkan sebagai Objek Warisan Ketara di bawah Senarai Warisan Kebangsaan 2009.

Pernahkah anda melawat Muzium Negara?
Ya
Tidak pernah