ARTIKEL
  
Muzium Negara Pada Tahun 1980-1990

Sejak penubuhan Muzium Negara pada tahun 1963, Pengarah Muzium Negara juga menjadi Pengarah Jabatan Muzium yang bertanggungjawab terhadap aktiviti-aktiviti permuziuman di Tanah Melayu dan berpejabat di Muzium Negara. Namun demikian tumpuan umum adalah kepada Muzium Negara dan Pengarah Muzium Negara memberikan perhatian utama kepada pengendalian harian Muzium Negara. Demikian juga dengan kebanyakan staf bawahan yang lain mereka dikehendaki memberikan keutamaan kepada balai-balai pameran Muzium Negara dan menentukannya sentiasa berada dalam keadaan baik pada setiap masa. Menjelang tahun 1980, terdapat sedikit perubahan pada struktur organisasi Jabatan Muzium apabila Akta Bendapurba Bil.168/1976 diluluskan Parlimen.

Bahagian Antikuiti telah diwujudkan yang mengandungi unit-unit Monumen, Arkeologi dan Pusat Pemuliharaan Nasional bagi menentukan Akta Bendapurba dilaksanakan dengan berkesan mengikut kaedah-kaedah dan garis panduan yang ditetapkan. Unit Penguatkuasaan juga telah dibentuk bagi menguatkuasakan akta ini.

Sungguhpun staf Bahagian Antikuiti berpejabat di Muzium Negara tetapi tumpuan tugas mereka adalah di lapangan bagi menentukan monumen dan tapak tanah bersejarah mengikut jadual dan prosedur yang ditetapkan.Perubahan baru ini tidak begitu dirasakan Muzium Negara kerana penyenggaraan balai pameran masih dilakukan seperti biasa oleh Unit-unit Pameran, Etnologi, Ilmu Kejadian dan Pendidikan.

Muzium Negara masih terus aktif seperti biasa dengan mengadakan pelbagai jenis pameran sementara setiap tiga bulan sekali, pameran bergerak ke seluruh negara, kelas-kelas pendidikan seni dan pengawetan pada setiap hari Sabtu , menghasilkan penerbitan-penerbitan berkala dan menguruskan perolehan koleksi etnologi dan alam semula jadi secara berterusan.

Pertambahan aktiviti baru telah membawa kepada perubahan struktur organisasi yang memerlukan pertambahan ruang dan staf baru.Ruang-ruang pejabat yang terdapat di lantai bawah Muzium Negara menjadi semakin sesak kerana pembinaan bilik-bilik baru bagi menempatkan staf baru.

Setor koleksi yang kecil menjadi semakin sesak kerana jumlah koleksi yang terus bertambah dari masa ke semasa. Tandas-tandas awam yang terletak di bawah bangunan Muzium Negara tidak mampu menampung keperluan pelawat yang begitu ramai. Namun demikian aktiviti Muzium Negara masih berjalan seperti biasa.

Cadangan untuk membina bangunan tambahan terbantut beberapa ketika.Hanya pada akhir tahun 1980an, barulah cadangan ini diluluskan dan kerja-kerja pembinaan ibu pejabat Jabatan Muzium bermula tahun 1991.

Teknik-teknik pameran yang disajikan di Muzium Negara tidak mengalami perubahan yang drastik.Hanya jumlah bahan pameran sahaja yang kian bertambah di samping memperkenalkan konsep dan mesej yang lebih berkesan berasaskan jalan cerita atau ‘story line’ yang lebih kemas dan teratur. Balai pameran ‘D’ yang mempamerkan aspek-aspek ekonomi negara telah diubah bagi menempatkan koleksi pameran senjata tradisional, koleksi seramik dan alat-alat muzik tradisional.

Balai pameran ‘B’ yang menempatkan pameran Sejarah, Seni Kraf Numesmatik, Orang Asli dan koleksi emas telah dirombak bagi menempatkan pameran-pameran khas yang diadakan secara berkala bagi tempoh masa enam bulan hingga satu tahun.

Persekitaran bangunan Muzium Negara turut mengalami perubahan dengan menurap laluan di sekitar muzium dengan batu-bata dan menutup kolam air pancutan di hadapan Muzium Negara bagi menanam pokok bunga tertentu. Bahan-bahan pameran di luar bangunan juga diubah atau ditambah agar kelihatan lebih menarik. Sebuah surau untuk kegunaan staf dan orang awam telah dibina berhampiran Istana Satu. Tandas awam yang lebih besar juga dibina berhampiran makmal Ilmu Kejadian.

 



artifak warisan bm Muka Hadapan : "Sultan Muzaffar Shah" dalam tulisan jawi. Muka Belakang : "Khalifatul Muminin" dalam tulisan jawi. Artifak ini telah diisytihar sebagai Objek Warisan Ketara di bawah Senarai Warisan Kebangsaan 2009.

Pernahkah anda melawat Muzium Negara?
Ya
Tidak pernah