ARTIKEL
  
Muzium Negara Sepintas Lalu

Muzium Negara yang dibina pada tahun 1962 mempunyai senibina yang mengadunkan gaya Melayu tradisional dan moden. Muzium ini terletak di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur berhampiran kawasan bangunan bersejarah dan taman yang romantik. Pada permukaan dinding muzium terpapar dua mural yang diperbuat daripada kaca mozek Itali yang menggambarkan sejarah penting dan kraf Malaysia. Muzium Negara dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail  pada  31 Ogos 1963.

Bangunan ini mempunyai empat ruang galeri utama. Di Tingkat Satu, Galeri A mempersembahkan jumpaan alat batu Zaman Paleotik sehinggalah artifak peninggalan candi Hindu-Buddha di Lembah Bujang. Galeri B menyoroti sejarah kewujudan kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara terutamanya di Tanah Melayu serta menonjolkan kegemilangan kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15. Galeri C di Tingkat Dua menyingkap sejarah kedatangan Portugis, Belanda, British dan Jepun serta kesannya terhadap keadaan politik, sosial dan ekonomi negara. Galeri D membawa pengunjung ke arah kemerdekaan dan pembentukan Negara bangsa serta pencapaian gemilang Malaysia sehingga ke hari ini.

 

WAKTU MELAWAT
Setiap hari daripada 9 pagi hingga 6 petang
Ditutup pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

BAYARAN MASUK
RM 2.00 untuk dewasa dan kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke atas.
Percuma untuk pelajar sekolah yang beruniform.

LAWATAN BERPANDU
Lawatan berpandu percuma selama satu jam diberi oleh sukarelawan Muzium berdasarkan jadual. Tempahan perlu dibuat terlebih dahulu untuk kumpulan & rombongan sekolah.
Sila hubungi: 03-2282 6255 atau
e-mel: mvmqueiries@yahoo.com

 



artifak warisan bm Patung Avalokitesvara ini ditemui di sebuah lombong bijih timah milik Anglo Oriental, Bidor, Perak pada tahun 1936. Ia diperbuat daripada gangsa dan mempunyai lapan tangan namun satu daripadanya telah patah. Mengikut pentarikhan, patung ini dianggarkan wujud antara kurun ke-7 hingga 12 Masihi pada zaman peradaban Hindu-Buddha. Berat patung ini ialah 140 paun dan tinggi 93 sm. Artifak ini telah diisytiharkan sebagai Objek Warisan Ketara di bawah Senarai Warisan Kebangsaan 2009.

Pernahkah anda melawat Muzium Negara?
Ya
Tidak pernah