ARTIKEL
Pembinaan Bangunan Muzium Negara

Bangunan Muzium Negara yang ada sekarang dibina di atas tapak Muzium Selangor yang dibuka pada 1906.Bahagian kanan Muzium Selangor musnah terkena sasaran bom yang dilepaskan pesawat B29 milik Tentera Berikat semasa Perang Dunia Kedua pada bulan Mac 1945. Sebahagian daripada koleksi-koleksi Muzium Selangor yang terselamat dipindahkan ke tempat lain dan ada juga yang dibawa ke Muzium Perak, Taiping oleh pegawai- pegawai Jepun yang mentadbir Muzium Selangor ketika itu.

Selepas Jepun menyerah diri, kerja-kerja pengendalian muzium dilakukan pegawai-pegawai Inggeris.Selepas peristiwa pengeboman tersebut sehinggalah tahun 1952 Kuala Lumpur tidak mempunyai sebarang muzium.Usaha-usaha untuk menubuhkan sebuah muzium sementara bagi menempatkan khazanah warisan negara dilakukan oleh Jeneral Sir Gerald Templer.Beliau telah mendirikan sebuah bangunan berukuran 60 kaki panjang dan 30 kaki lebar.Muzium sementara ini kekal selama kira-kira lapan tahun.

Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman telah mengambil daya usaha untuk membina Muzium Negara di atas tapak Muzium Selangor.Beliau telah melancarkan projek ini pada 16 September 1958.Seorang arkitek dari Singapura bernama Ho Kok Hoe telah mereka bentuk beberapa contoh bangunan berasaskan senibina istana raja-raja Melayu dan unsur-unsur kesenian masyarakat Melayu tempatan.

Dalam tempoh masa yang sama pihak UNESCO, Paris juga turut mambantu dengan menghantar seorang pakar muzium dan arkitek.Beliau ialah Lother P.Witterburg yang pernah menjadi Ketua Bahagian Pameran di Natural History Museum, New York.

Setelah Tunku Abdul Rahman memilih reka bentuk bangunan (seperti yang ada sekarang) sebuah syarikat pembinaan bernama Syarikat Yew Lee telah dilantik untuk mula membina bangunan Muzium Negara pada 2 Januari 1962. Bangunan ini berukuran 124 kaki persegi, 362 kaki panjang dan 60 kaki lebar.

Semasa Muzium Negara sedang dibina, beberapa pakar muzium telah datang untuk memberi khidmat kepakaran dalam kerja-kerja mereka bentuk pameran.Antaranya ialah John Irwin dan J.J Lowry dari Victoria dan Albert Museum, London.Mereka berada di sini selama 5 bulan tetapi J.J Lowry kembali semula menggantikan Mubin Sheppard sebagai Pengarah Muzium. Bagi memperindahkan lagi bangunan Muzium Negara dan dua mural besar pada bahagian hadapan telah dibina bagi menggambarkan tradisi seni budaya sejarah negara.Mural ini diperbuat daripada mozek Itali berharga satu setengah juta ringgit hasil sumbangan Dato’Lee Keng Chian.Gambar-gambar yang tertera pada mural ini adalah hasil karya Cheong Lai Tong dari Kuala Lumpur yang memenangi satu pertandingan melukis anjuran Jabatan Perdana Menteri.

Pembinaan bangunan Muzium Negara ini turut mendapat perhatian istimewa dari kerajaan Pakistan yang menghadiahkan batu mozek biru di Dewan Tengah.Batu mozek biru ini dilukis dan diimpot khas dari Pakistan.Seorang dermawan dari Singapura bernama Aw Cheng Chye turut menghulur bantuan dengan menderma batu mozek yang menghiasi tangga utama Muzium Negara. Pada peringkat permulaan sebahagian daripada bahan-bahan pameran Muzium Negara dihadiahkan oleh berbagai golongan masyarakat termasuk DYMM Sultan Johor.

Muzium Negara mempunyai empat balai pameran tetap.Balai pertama yang dikenali sebagai Balai ‘A’ mempamerkan bahan-bahan kebudayaan rakyat Malaysia, manakala balai kedua yang dikenali sebagai Balai ‘B’ pula mempamerkan artifak-artifak sejarah Tanah Melayu, penemuan-penemuan arkeologi, kraftangan tradisional, koleksi Numesmatik, senjata-senjata Melayu dan Orang Asli. Dewan Tengah Muzium Negara digunakan sebagai tempat mengadakan pameran-pameran sementara.

Pada tingkat keduanya pula terdapat Balai Pameran ‘C’ yang mempamerkan pelbagai koleksi alam semula jadi negara seperti mamalia, reptilia, serangga, burung, ikan, geologi dan lain-lain lagi. Balai ‘D’ pula mempamerkan bahan-bahan yang berkaitan dengan kegiatan ekonomi negara seperti tanaman komersial, industri perlombongan bijih timah, perikanan dan pengangkutan awam.

Kerja-kerja menyiapkan bangunan dan menyediakan pameran berjalan serentak dengan melibatkan ramai penyelidik, pekerja dan tukang-tukang yang berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang.Antara ahli-ahli terkemuka dalam bidang-bidang berkenaan ialah Nik Zainal Abidin bin Nik Salleh, Wan Su Wan Othman dan Shaharuddin Tahir yang telah melukis bentuk hiasan di luar dan di dalam bangunan, ukiran pada pintu besar hadapan bangunan, ukiran siling Dewan Tengah dan Balai Istiadat.Para karyawan lain yang turut memberi sumbangan besar untuk menyiapkan pameran-pameran tetap ialah Waveney Jenkins, Abdul Wahab Mohd Tahir (Pelukis Muzium), Hossein Enas, Raja Teh Zaiton, Sharum Yub, Brian Peacock dan Ismail Bakti.Waveney Jenkins telah menghasilkan karya mural Hang Tuah berpandukan nasihat Dato’ Paduka Maharajalela Nik Mustapha Fadhil dan mengambil contoh wajah dua orang askar dari Batalion Pertama Askar Melayu Diraja.

Raja Teh Zaiton telah menjayakan takhta perkahwinan Diraja Perak yang masih kekal sehingga sekarang dengan bantuan Puan Teh Fatimah dari Ipoh yang juga seorang pakar dalam pakaian Diraja Perak.

Pameran yang disajikan di Balai Pameran Alam Semula Jadi (Ilmu Kejadian) adalah atas daya usaha seorang pakar taxidermi dari Denmark, Arne S. Dyhrberg.Beliau telah dipinjamkan pemerintahan Indonesia ke Muzium Negara ketika beliau berkhidmat di Muzium Sejarah Alam Semula Jadi di Bogor, Jawa.Beliau telah mendidik staf Muzium Negara dalam kerja-kerja taxidermi.Antaranya ialah Wee Ho Cheng dan Rahmat Ahmad.

Setelah setahun berlalu, bangunan Muzium Negara dapat disiapkan dengan baik dalam tempoh masa yang sama kerja-kerja menyediakan pameran-pameran tetap berjalan tanpa henti. Akhirnya pada hari Sabtu 31 Ogos 1963 bangunan Muzium Negara dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hasan Jamalullail.