ARTIKEL
  
Penubuhan Jabatan Muzium dan Antikuiti Pada Tahun 1993

Penggunaan nama Jabatan Muzium dan Antikuiti secara rasminya telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam pada 11 Mac 1993. Dalam tempoh yang sama bangunan tambahan yang terletak di sebelah Muzium Negara telah siap pembinaannya. Struktur Organisasi Jabatan Muzium dan Antikuiti turut dirombak bagi memenuhi pertambahan bidang tugas dan keperluan baru yang lebih luas.Kedudukan Muzium Negara turut mengalami perubahan dengan menjadikannya sebagai Bahagian Pameran Jabatan yang diketuai oleh Kurator A11 dan kemudian Kurator S3.

Ini bermakna pengkhususan Fungsi Muzium Negara hanya dalam aspek pameran dan khidmat pendidikan sahaja. Unit Etnologi yang telah diwujudkan sejak awal penubuhan Muzium Negara dan bertanggungjawab terhadap penyelidikan dan koleksi warisan kebudayaan tidak lagi terletak di Muzium Negara tetapi diletakkan sebagai Unit Etnologi Bahagian Penyelidikan Jabatan Muzium dan Antikuiti.

Perubahan yang sama juga dilakukan kepada Unit Alam Semula Jadi (Ilmu Kejadian).Unit Sejarah yang diletakkan di bawah Bahagian Penyelidikan akhirnya telah dibubarkan apabila Muzium Sejarah Nasional diwujudkan pada tahun 1993.

Apabila ibu pejabat Jabatan Muzium dan Antikuiti dan Bahagian Pentadbiran dan bahagian-bahagian lain berpindah ke bangunan baru kira-kira pada tahun 1996 Muzium Negara seolah-olah ditinggalkan kesepian tanpa ‘ibu’.

Walaupun pameran-pameran masih disenggara tetapi melibatkan hanya kakitangan tertentu di Muzium Negara sahaja dengan dibantu sekali sekala oleh staf Unit Etnologi dan Alam Semula Jadi kerana koleksi-koleksi yang dipamerkan melibatkan kedua-dua unit tersebut. Pegawai-pegawai kanan jabatan yang terlibat dengan Muzium Negara tidak lagi memberikan perhatian kepada balai pameran kecuali ketika majlis perasmian pameran sementara atau majlis-majlis khas diadakan. Ruang-ruang pejabat tidak disenggara dengan baik dan ada yang menjadi setor penyimpanan koleksi milik orang luar.

Atas kehendak pihak Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, dua ruang pejabat digunakan sebagai pejabat EFEO. Ruang yang pada satu ketika dahulu menjadi ruang pejabat pentadbiran dikosongkan dan menjadi bilik mesyuarat.Bilik Perpustakaan yang sejak sekian lamanya menjadi perpustakaan rujukan jabatan yang menempatkan ribuan penerbitan khas ditinggalkan kosong dan akhirnya menjadi setor koleksi individu. Dalam pada itu,pameran-pameran sementara masih berjalan seperti biasa yang dikendalikan bersama Bahagian Penyelidikan Jabatan Muzium dan Antikuiti.


Penyusunan semula Jabatan Muzium dan Antikuiti yang berkuatkuasa pada 1 Ogos 2000 memberi nafas baru kepada Muzium Negara.Mulai akhir tahun 2000 Muzium Negara mula membuat perubahan dengan penambahan staf baru. Perubahan secara fizikal pada persekitaran bangunan Muzium Negara mula kelihatan pada pertengahan tahun 2001 dan berterusan sehingga kini.

Balai pameran ‘B’ yang sudah sekian lama ditutup mula mengalami perubahan dengan menjadikannya Balai Pameran Tetap bertemakan “Wajah-Wajah Malaysia”, dengan menggunakan teknik baru yang lebih menarik dan canggih. Perancangan perubahan fizikal yang lebih menarik akan dilakukan secara berterusan bagi memperlihatkan keunggulan Muzium Negara sebagai sebuah muzium ternama di negara ini.

 



artifak warisan bm Muka Hadapan : "Sultan Muzaffar Shah" dalam tulisan jawi. Muka Belakang : "Khalifatul Muminin" dalam tulisan jawi. Artifak ini telah diisytihar sebagai Objek Warisan Ketara di bawah Senarai Warisan Kebangsaan 2009.

Pernahkah anda melawat Muzium Negara?
Ya
Tidak pernah