Langkau ke kandungan utama

Muzium Negara

Mengenai Kami

Idea penubuhan Muzium Negara telah dicetuskan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia Pertama. Bangunan ini dibina di atas bekas tapak Muzium Selangor (1906-1945). Pada masa Perang Dunia Kedua, sebahagian daripada bangunan Muzium Selangor telah roboh akibat pengeboman yang dilakukan oleh Tentera Udara Pihak Berikat pada 10 Mac 1945. 

Pameran Maya Nostalgia Anak Kampung Permainan Tradisional

Pameran ini bertujuan untuk mengimbas kembali kemeriahan permainan tradisional yang kini semakin dilupakan oleh generasi muda masa kini. Rasa cinta terhadap permainan tradisional dapat disemai kembali melalui pameran ini sekaligus melestarikan warisan budaya permainan tradisional dalam kalangan rakyat Malaysia.

Muzium Negara AR merupakan sebuah aplikasi yang membolehkan orang ramai untuk mendapatkan informasi 28 koleksi terpilih di Muzium Negara dalam bentuk kandungan multimedia realiti terimbuh atau augmented reality (AR) 2D dan 3D. Walau bagaimanapun, pengalaman AR ini hanya boleh dirasai oleh pengunjung yang melawat ke Muzium Negara sahaja. Pengunjung perlu memuat turun aplikasi sebelum atau semasa berkunjung ke Muzium Negara dan mengimbas penanda QR yang tersedia untuk merasai pengalaman tersebut. Muzium Negara AR beroperasi dengan persekitaran sistem Android 7.0 ke atas dan iOS 12 ke atas dan telah sedia untuk dimuat turun melalui pelantar Google Play, App Store dan Huawei AppGallery.

Selain pengalaman AR, aplikasi ini merupakan pelantar kepada pengunjung Muzium Negara untuk merasai pengalaman maya dan mendapatkan info-info seperti maklumat umum Muzium Negara (harga tiket, waktu operasi, lawatan berpandu dan lain-lain), pelan kawasan dan pelan lantai Muzium Negara, fasiliti dan kemudahan yang tersedia, maklumat setiap galeri (info umum, segmen dan kedudukan), suapan berita program dan aktiviti semasa, trivia bangunan Muzium Negara, pelantar media sosial Muzium Negara (laman web, Facebook, Instagram, TikTok & Telegram) dan lokasi tarikan pelancong yang terdekat.