Langkau ke kandungan utama

Mengenai Muzium Negara

Muzium Negara

Idea penubuhan Muzium Negara telah dicetuskan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia Pertama. Bangunan ini dibina di atas bekas tapak Muzium Selangor (1906-1945). Pada masa Perang Dunia Kedua, sebahagian daripada bangunan Muzium Selangor telah roboh akibat pengeboman yang dilakukan oleh Tentera Udara Pihak Berikat pada 10 Mac 1945. 

Kerja pembangunan muzium telah dimulakan pada tahun 1959 dan siap sepenuhnya pada Ogos 1963. Upacara perasmiannya telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ketiga, Tuanku Syed Putra Al-Haj ibni Almarhum Syed Putra Al-Haj ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail. 

Seorang arkitek bernama Ho Kok Hoe telah menghasilkan rekabentuk bangunan Muzium Negara ini berdasarkan seni bina istana Raja-Raja Melayu dan masyarakat Melayu tempatan. Bangunan ini merupakan bangunan kerajaan pertama yang menggunakan ciri-ciri senibina Melayu tradisional. Dinding hadapannya turut dihiasi dengan dua buah mural yang diperbuat daripada kaca mozek Itali yang memaparkan rentetan sejarah dan kraftangan Malaysia. 

Bangunan Muzium Negara juga telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 pada 11 Ogos 2015. Majlis bersejarah itu telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan pada masa itu iaitu YAB Datuk Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia.
 

                        

Plak Akta Warisan Kebangsaan 2005

 

Objektif

Objektif Muzium Negara adalah seperti berikut:

  • Menjalankan aktiviti permuziuman seperti menyelidik, mengumpul, merekod dan menerbitkan segala khazanah warisan sejarah negara;
  • Mempamerkan dan memanfaatkan bahan artifak warisan sejarah negara bagi tujuan pendidikan masyarakat ke arah pembinaan jati diri dan pembangunan bangsa, dan;
  • Menjadikannya sebagai salah satu produk pelancongan negara.