Langkau ke kandungan utama

Mengenai Muzium Negara

Muzium Negara

Idea penubuhan Muzium Negara telah dicetuskan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia Pertama. Beliau berpendapat, Tanah Melayu (pada ketika itu) memerlukan sebuah muzium yang beridentiti nasional untuk menterjemahkan kepelbagaian aspek budaya, warisan dan alam semulajadi negara. Oleh yang demikian, tapak bangunan Muzium Selangor (1906-1945) yang telah roboh akibat serangan bom Tentera Udara Pihak Berikat pada 10 Mac 1945 telah dipilih sebagai lokasi pembinaan Muzium Negara.

Kerja-kerja pembangunan Muzium Negara telah mula dilaksanakan pada tahun 1959 dan siap sepenuhnya pada bulan Ogos 1963. Reka bentuk bangunan Muzium Negara ini telah diterjemahkan oleh arkitek yang telah dilantik iaitu Encik Ho Kok Hoe berdasarkan ciri-ciri seni bina istana Raja-raja Melayu. Uniknya pada ketika itu, Muzium Negara merupakan satu-satunya bangunan kerajaan yang beridentitikan seni bina Melayu tradisional. Keunikan Muzium Negara tidak hanya terlihat pada seni binanya sahaja, tetapi turut terpapar pada permukaan dinding hadapannya yang dihiasi dengan dua buah mural diperbuat daripada kaca mozek Itali. Mural-mural tersebut yang memaparkan rentetan sejarah dan kraftangan Malaysia ini telah dihasilkan oleh Encik Cheong Laitong yang merupakan antara pelukis terkenal Malaysia.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ketiga, Tuanku Syed Putra ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail telah menyempurnakan upacara perasmian Muzium Negara pada tanggal 31 Ogos 1963. Pada tanggal 11 Ogos 2015, Muzium Negara telah menerima pengiktirafan sebagai bangunan warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. 
 

Plak Akta Warisan Kebangsaan 2005

 

Objektif

Objektif Muzium Negara adalah seperti berikut:

  • Menjalankan aktiviti permuziuman seperti menyelidik, mengumpul, merekod dan menerbitkan segala khazanah warisan sejarah negara;
  • Mempamerkan dan memanfaatkan bahan artifak warisan sejarah negara bagi tujuan pendidikan masyarakat ke arah pembinaan jati diri dan pembangunan bangsa, dan;
  • Menjadikannya sebagai salah satu produk pelancongan negara.