Langkau ke kandungan utama

Sejarah Muzium Negara

Sejarah Penubuhan

Sejarah permuziuman di Malaysia bermula pada tahun 1883 apabila pemerintah British menubuhkan Muzium Perak di Taiping. Ini diikuti dengan penubuhan Muzium Sarawak di Kuching pada tahun 1888 dan kemudiannya Muzium Selangor pada tahun 1899.

Pada tahun 1910, pengurusan Muzium Perak dan Muzium Selangor disatukan di bawah Jabatan Muzium Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1930, pengurusan tersebut dipisahkan semula sebagai satu langkah di bawah sistem disentralisasi oleh pemerintah British.

Sebahagian daripada bangunan Muzium Selangor telah roboh disebabkan pengeboman yang dilakukan oleh Tentera Udara Pihak Perikatan pada 10 Mac 1945. Akibatnya, sebahagian besar koleksi telah musnah.

Dua tahun selepas kemerdekaan iaitu pada tahun 1959, kerajaan melantik seorang arkitek iaitu Encik Ho Kok Hoe untuk mereka bentuk Muzium Negara yang dicadangkan dibina di atas tapak runtuhan Muzium Selangor. Pembinaannya telah dimulakan pada tahun 1962 dan pada 31 Ogos 1963, bangunan Muzium Negara akhirnya siap sepenuhnya dan dirasmikan oleh Yang di Pertuan Agong ke–III Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.

Rekabentuk

Reka bentuk bangunan Muzium Negara adalah bercirikan elemen astetik dan ukiran bangunan istana Melayu tradisional. Reka bentuk yang tersergam indah ini dipilih sendiri oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Seni bina bangunan Muzium Negara disokong oleh 26 batang tiang konkrit yang telah diubahsuai bagi mengekalkan ciri-ciri istana Melayu tradisional. Konsep 26 batang tiang ini berdasarkan kepada gabungan 13 tiang yang terdapat pada bahagian timur dan 13 tiang lagi pada bahagian barat bangunan, yakni melambangkan Malaysia dibentuk daripada 13 buah negeri.

 

 

Sejarah Perkembangan Muzium Di Malaysia Sehingga Penubuhan Muzium Negara
Maklumat Am Penubuhan Muzium Negara
Muzium Negara di bawah Pengurusan Jabatan
Muzium Negara di bawah Pengurusan Kementerian