Langkau ke kandungan utama
Tugu Sir Frank Athelstane Swettenham

 

Sir Frank Athelstane Swettenham, C.M.G., K.C.M.G., G.C.M.G, lahir di Belper, Derbyshire, England pada tahun 1850, anak keempat James Oldham Swettenham. Beliau telah menjadi Kadet Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri Selat pada tahun 1870. Tiba di Singapura pada Januari 1871, dan lulus peperiksaan akhir pengajian Melayu pada Julai 1872. Setelah itu dilantik sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah kemudiannya sebagai Pemungut Hasil Tanah bagi Pulau Pinang dan Seberang Perai (1872 – 1873). Pada bulan Januari, Jun dan Julai 1874 beliau telah memegang jawatan dihantar sebagai utusan khas ke negeri Perak. Sebulan kemudian iaitu pada Ogos 1874, dihantar pula berkhidmat dengan Sultan Selangor. Pada bulan Disember, 1874 beliau telah dilantik menjadi Penolong Residen Negeri Selangor. Kemudiannya pada bulan November 1875, memegang jawatan sebagai Penolong Pesuruhjaya Negeri Perak. Ketokohannya sebagai pentadbir makin terserlah bila dilantik menjawat jawatan sebagai Penolong Setiausaha Kolonial bagi Negeri-Negeri Melayu pada tahun 1876 dan Penolong Setiausaha Kolonial pada tahun 1881. Pada tahun 1882 telah dilantik pula sebagai Residen Inggeris di Selangor. Dari tahun 1883-1884 Sir Frank Athelstane Swettenham menjadi Pesuruhjaya bagi Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu di Pameran Calcutta (1883 – 1884). Manakala di antara tahun 1884-1886 beliau telah memangku jawatan Residen Perak. Apabila tamat tempoh pemangkuan beliau dilantik pula sebagai Pesuruhjaya Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu, di Pameran Kolonial dan India pada tahun 1886. Kemudian menjadi Residen Perak pada tahun 1889 dan Ketua Residen bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896. Jawatan terakhir beliau sebelum bersara ialah sebagai Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu pada tahun 1901. Pada tahun 1904 beliau telah bersara daripada perkhidmatan kerajaan British. Lima tahun selepas itu, pada tahun 1909 beliau telah dipilih sebagai Pengerusi Suruhanjaya Diraja mengenai Mauritius. Beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 11 Jun 1946. Patung ini telah didirikan bagi memperingati khidmatnya di Malaya dan dibiayai melalui derma-derma sahabat handai dan kenalan beliau. Patung ini pada mulanya didirikan di hujung bahagian pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor, menghadap ke Kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang yang telah dirasmikan pada 19 Januari, 1921. Semasa Pendudukan Jepun, patung ini telah dipindahkan, tetapi telah diletakkan semula di tempat asal pada 15 Oktober 1946, dan kemudiannya dipindahkan ke Muzium Negara.