Selamat datang ke Muzium Negara Malaysia. Di sini terhimpunnya warisan sejarah dan budaya Malaysia yang dipamerkan melalui koleksi artifak dan khazanah negara.
Muzium Negara merupakan hasil cetusan idea oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Berdiri megah di Kuala Lumpur, Muzium Negara merupakan antara bangunan pasca merdeka yang mengadaptasi seni bina Melayu dan ukiran tradisional. Sejak dirasmikan pada 31 Ogos 1963, Muzium Negara komited melaksanakan fungsinya sebagai guardian of heritage yang menjaga koleksi khazanah warisan negara. Di sinilah kelestarian identiti dan bukti ketamadunan bangsa dipelihara sebagai perlambangan jati diri dan identiti seluruh rakyat Malaysia yang berpadu dan harmoni. Menuju ke hadapan, Muzium Negara optimis untuk terus melebarkan fungsinya sebagai wadah yang menghubungkan komuniti dari pelbagai generasi sambil menyokong teras keutuhan perpaduan menerusi apresiasi terhadap khazanah negara yang diwarisi bersama.
Muzium Negara menanti anda dengan empat buah galeri yang menceritakan liku perjalanan sejarah negara sehingga terbentuknya Malaysia seperti yang anda saksikan pada hari ini. Hayati, nikmati dan pelajari ilmu baharu menerusi pameran bertema dan aktiviti pendidikan muzium berkonsepkan ‘edutainment’ dan ‘experiental learning’ termasuk aplikasi teknologi terkini yang lebih mesra pelawat.
Dalam usaha mendukung bidang permuziuman, Muzium Negara akan terus giat melaksanakan aktiviti penyelidikan, pameran dan pendidikan. Aktiviti-aktiviti ini akan terus diperluas dan dipertingkatkan sesuai dengan fungsinya sebagai sebuah institusi pendidikan tidak formal yang boleh diakses dan dipelajari pada bila-bila masa. Semoga Muzium Negara terus menjadi destinasi pelancongan lestari dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
Akhir kata, sayangi dan pertahankan legasi warisan khazanah negara yang menjadi kebanggaan kita bersama.
Jom singgah Muzium Negara!
Zamrul Amri bin Zakaria
Pengarah Muzium Negara