Langkau ke kandungan utama
Pesawat Ringan Eagle 150B

 

Pesawat Eagle 150B merupakan pesawat pertama buatan Malaysia yang telah siap dibina pada tahun 1993. Pesawat Eagle atau Program Eagle adalah salah satu projek nasional kerajaan dalam membangunkan keupayaan pembinaan pesawat di dalam negara menggunakan tenaga dan kepakaran tempatan. Pada asalnya, projek ini mula dijalankan oleh sebuah syarikat Australia, Composite Technology Pty Ltd tetapi telah diambil alih oleh syarikat tempatan, Composites Technology Research Malaysia (CTRM). Pembabitan Malaysia dalam projek ini bukan sahaja dalam pertambahan modal namun juga melibatkan pengurusan, kawalan mutu dan pengeluaran. Sepasukan jurutera, juruteknik dan pengurus Malaysia dengan bantuan pihak Australia telah membina pesawat tersebut daripada bentuk prototaip 'proof-of-concept' kepada prototaip pengeluaran dan seterusya pengeluaran pesawat.

Pembinaan pesawat ini memakan masa dua tahun setengah dan telah menjalani ujian selama 300 jam sebelum Lembaga Penerbangan Awam Australia mengeluarkan sijil kelulusan pada 21 September 1993 yang membolehkan pesawat ini dikeluarkan dan dipasarkan oleh syarikat CTRM. Pesawat Eagle 150B ini telah disumbangkan oleh syarikat CTRM kepada Jabatan Muzium Malaysia pada tahun 2016.