Galeri ini mengesan evolusi pembentukan kerak bumi dan asal usul masyarakat awal di Malaysia, khususnya melalui penemuan alat batu Paleolitik (200,000 tahun dahulu) sehingga penemuan artifak warisan Hindu-Buddha di Lembah Bujang pada zaman Proto-sejarah. Antara koleksi yang dipamerkan termasuk pelbagai jenis tembikar zaman Neolitik, barangan perhiasan seperti cincin batu, subang kerang dan manik yang digunakan sebagai barang dagangan. Salah satu artifak berharga yang dipamerkan ialah loceng Dong Son yang bertarikh sekitar 150 CE.
Koleksi menarik termasuk replika Manusia Perak, bertarikh antara 10,000 hingga 11,000 tahun lalu yang ditemui di Gua Gunung Runtuh, Lenggong, Perak. Rangka Manusia Perak adalah rangka yang tertua dan paling lengkap ditemui di Asia Tenggara. Selain itu, pelbagai jenis praktis pengebumian purba turut diketengahkan seperti pengebumian tempayan, keranda kayu dan batu kubur yang menekankan tentang ritual atau sistem kepercayaan, atau struktur masyarakat pada zaman tersebut.