Langkau ke kandungan utama

Galeri D : Malaysia Kini

Galeri ini menyingkap sejarah gerakan nasionalisme yang dipelopori oleh tokoh-tokoh kebangsaan sehinggalah kepada penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO (United Malay National Organisation) pada tahun 1946. Kelantangan suara menuntut hak dan pembebasan sepenuhnya dari tangan British telah diperjuangkan pelbagai pihak dari pelbagai kaum sehinggalah negara ini akhirnya kembali merdeka sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat pada 31 Ogos 1957 menerusi meja rundingan. Pada 16 September 1963 negara maju setapak lagi dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura (1963-1965). Galeri ini juga memaparkan pencapaian negara selepas kemerdekaan sehingga pembentukan Malaysia pada 1963 dan juga masa kini.

Perpaduan kaum, kestabilan politik yang bertunjangkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen serta pencapaian-pencapaian negara yang membanggakan termasuk pembangunan fizikal yang bersifat moden, mega dan mencakar langit turut menjadi paparan galeri ini. Turut dipamerkan kekayaan dan kepelbagaian budaya Malaysia melalui pameran pakaian tradisi kaum yang terdapat di Malaysia seperti kaum Melayu, Cina, India dan peribumi Sabah dan Sarawak.